Ramadan ikut pemahaman empat golongan


RAMADAN adalah masa yang diberkati dan bagi mereka yang menyedarinya akan menggunakan tempoh sebulan ini dengan sebaiknya untuk menambahkan keimanan dan ketaatan kepada Allah SWT.

Ulama Syria, Almarhum Mustafa al-Siba
’iyy menggambarkan empat jenis manusia dalam menghadapi bulan Ramadan iaitu;

Seseorang yang tidak banyak mengetahui mengenai Ramadan. Dia beranggapan datangnya Ramadan hanya menjadi penghalang bahkan tidak ada manfaat sama sekali baginya. Ramadan dipandang sebagai tradisi keagamaan semata-mata yang tidak memberi kesan positif baginya. Golongan ini tidak menunaikan kewajipan berpuasa.

Seseorang yang hanya memandang puasa Ramadan sekadar menahan lapar dan dahaga. Ini kerana dia sangat berkeinginan untuk tidak berpuasa bahkan mengolok-olok orang lain yang berpuasa. Dia berpura-pura berpuasa kepada orang yang tidak mengenalinya, tetapi secara terang-terangan menampakkan kepada orang yang sejalan dengannya bahawa ia tidak berpuasa.

Seseorang yang hanya memandang Ramadan sebagai suatu tradisi tahunan yang ditandai dengan hidangan melimpah, sebagai kesempatan untuk berbual kosong sehingga fajar dan siang harinya tidur sehingga terbenam matahari. Ia menjadi seorang yang pemalas dalam melaksanakan tugasnya.

Seseorang memandang Ramadan sebagai peluang untuk memperbaiki fungsi jiwa manusia supaya rela berkorban, melatih bersabar dan mendidik.

Inilah empat kategori manusia dalam menghadapi Ramadan. Maka tanyalah diri di manakah kita berada. Kita patut berada dalam kategori keempat kerana mereka menyambut Ramadan sebagai cara untuk memperbaharui keimanan, pendidikan akhlak, memperkukuhkan rohani dan mulai hidup dengan lebih sempurna. Maka mereka inilah yang akan mendapat manfaat daripada Ramadan itu.

Seorang Muslim yang berpuasa akan meningkatkan sikap taat, mengoptimumkan usaha meningkatkan perhambaan kepada Allah, bersikap rendah hati di bawah kebesaranNya, selalu berusaha mendekatkan diri kepada-Nya.

Apabila datangnya Ramadan, Nabi SAW bersabda bahawa pintu syurga akan dibuka dan pintu neraka ditutup dan diikat syaitan. Oleh itu ia adalah bulan syurga dan syurga untuk ahli yang menjauhi syaitan dan meninggalkan was-was.

Mereka sibuk dengan syurga dan akhirat. Manusia akan sedar dan umat akan sedar akan perkara yang disebut oleh Rasulullah SAW ini. Mereka akan meninggalkan jalan ke neraka dan berjanji dengan Allah SWT untuk meninggalkan maksiat, kefasikan, kezaliman, penyelewengan, kesesatan dan hawa nafsu.

Datang Ramadan dengan pintu syurga yang terbuka untuk ahlinya iaitu umat bersifat mulia dan penyayang, jauh daripada perkataan memudaratkan, kata kotor dan palsu. Orang yang berpuasa tidak akan bersifat dengan sifat demikian. Kata-kata kotor akan memudaratkan diri dan umat, merosakkan masa lalu dan masa depan mereka. Oleh itu kata kotor hendaklah dibersihkan.

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Barang siapa yang tidak meninggalkan ucapan dan perbuatan keji tidak ada ertinya bagi Allah walaupun ia meninggalkan makanan dan minuman.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Nabi SAW pernah berpesan supaya orang yang berpuasa tidak mengeluarkan kata keji dan kotor dan jika ada orang mengajak kepada pembunuhan atau perkelahian, hendaklah kita menyebutkan
“sesungguhnya saya berpuasa.”

Waspadalah terhadap semua itu kerana ia adalah kekalahan yang membuatkan syaitan bergembira. Sambutlah Ramadan dengan ketaatan, ketakwaan dan keimanan. Ambillah daripada kebaikan Ramadan dan hidulah bau syurga, angkatlah pandangan ke langit, jauhkan diri daripada hal yang hina serta ingatlah selalu akan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Berapa ramai orang yang berpuasa, tetapi ia tidak memperoleh pahala apa-apa daripada puasa itu kecuali rasa lapar dan dahaga.

Orang mukmin akan semakin terpacu untuk meningkatkan ketaatan dan ibadat. Dia akan melapangkan hati kerana hari-hari dalam bulan ini akan turunnya rahmat dan keberkatan. Jiwa mereka akan selalu memperoleh kekuatan dan sinar kesucian.

Sumber: Berita Harian 30.9.2007

Sandiwara Ramadhan

Penulis: Noor Zainal

Firman Allah: "Setiap amalan adalah untuk anak Adam kecuali puasa dan Aku yang akan memberi pahalanya." Melalui firman itu, wajarlah kita berpuasa dan tidak boleh ditinggal kecuali bersebab agar nilai kemanusiaan dapat ditingkatkan dan terhindar daripada sifat kehaiwanan.
Namun nilai kemanusiaan dan tahap kesedaran, semakin tercemar setiap kali muncul Ramadan. Perintah Allah tidak dihiraukan, seperti makan di khalayak ramai selain perlakuan maksiat yang langsung tidak menghormati bulan mulia itu. Walaupun mereka yang ditangkap dibawa 'makan angin' menaiki kereta mayat keliling bandar raya, ia langsung tidak mengaibkan pelaku. Keadaan ini amat menyedihkan terutama pandangan penganut agama lain terhadap Islam yang dicemari orang Islam sendiri.
Ada yang mengambil kesempatan Ramadan beramal ibadat dan bersedekah. Mereka yang tidak mendirikan solat, mula berjinak-jinak ke surau dan masjid. Bagi wanita, ada yang mula memakai tudung serta berbaju kurung sepanjang Ramadan dengan alasan menutup aurat dan menghormati bulan puasa.
Dan pada bulan itu juga hampir setiap perbuatan, tingkah laku dan percakapan dikaitkan dengan dosa dan pa-hala. Tidak seperti lazimnya, terhambur kata-kata lucah yang menjadi gurauan seharian. Anehnya, apabila tamat Ramadan, tamatlah sandiwara itu. Langkah ke surau terhenti, tudung kepala terbang melayang dan betis-betis gebu mula disingkap.
Mengapakah keadaan ini terjadi? Pahala yang dicari atau sengaja menempah dosa? Adakah mereka ini berpura-pura, mempersenda Ramadan atau sekadar ingin meraih pujian?
Menurut Hamidon Abdul Hamid daripada Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Ramadan lebih bersifat bulan memerangi nafsu. "Ramadan membuat kita berasa dekat dengan Allah dan melalui puasa, keinsafan akan memuncak. Malangnya, ramai salah tafsir konsep berpuasa itu. Ada menjadikan Ramadan bulan mereka mengamalkan diet untuk menguruskan badan. Jika ini diamalkan, mereka tidak berpuasa kerana kerohanian, sebaliknya atas sebab lain."
Tambahnya, dengan berpuasa seseorang itu menunjukkan rasa kecintaan kepada Allah dan sedar setiap perbuatan itu dilihat-Nya. "Apabila kita insaf, menunjukkan sudah ada keimanan dalam diri yang seterusnya memberi laluan dan memudahkan kita melakukan amalan lain tanpa paksaan."
Menyentuh sandiwara Ramadan, Hamidon berpendapat, ia disebabkan perang psikologi. "Mereka mengetahui puasa itu besar pahalanya, lantas mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk tidak menjejaskan puasa secara keseluruhan. Walaupun hakikatnya perbuatan itu akan menjadi bahan percakapan orang lain, mereka tidak peduli."

Jelita 2, 1995

Hal-hal yang dimakruhkan dalam puasa

Orang yang sedang berpuasa dimakruhkan melakukan hal-hal yang boleh merosak puasanya, walaupun hal-hal tersebut sebenarnya tidak merosakkan puasa. Di antara hal-hal tersebut:

1) Berlebih-lebihan dalam berkumur, menghirup air dengan hidung.

2) Suami mencium isteri.

3) Suami terus-menerus melihat isteri dengan syahwat.

4) Memikirkan seks.

5) Menyentuh wanita dengan tangan.

6) Mencuba makanan.

7) Berkumur tidak untuk berwuduk.

8) Bercelak di siang hari.

9) Berbekam atau mengeluarkan darah.

Hal-hal yang membatalkan puasa

1) Masuk cairan ke dalam perut melalui hidung, mata, telinga, atau kemaluan wanita.

2) Air masuk dalam perut akibat berlebihan ketika berkumur dan menghirup air dengan hidung ketika berwuduk.

3) Keluarnya air mani kerana melihat wanita atau berhubungan suami isteri.

4) Muntah dengan sengaja.

5) Dipaksa makan dan minum.

6) Murtad dari Islam.

Hal-hal yang boleh dikerjakan ketika berpuasa

1) menggunakan siwak.

2) Menyejukkan badan dengan air kerana terlalu panas atau menyelam ke dalam air.

3) Makan minum dan melakukan hubungan suami isteri pada malam hari hingga terbitnya fajar.

4) Berubat dengan ubat yang halal tetapi tidak masuk ke dalam perut.

5) Mengunyah makanan untuk anak-anak kecil.

6) Penggunaan wangi-wangian.

7) Keluar jauh perjalanan untuk sesuatu urusan walaupun mengetahui bahawa perjalanannya

akan membuatnya tidak berpuasa.

Hal-hal yang dimaafkan bagi orang yang berpuasa

1) menelan air liur sendiri walaupun banyak

2) muntah tapi tidak masuk lagi ke perut hanya di hujung lidah.

3) Menelan lalat dengan tidak sengaja.

4) Dalam keadan berjunub hingga ke siang hari

5) Mimpi melakukan hubungan suami isteri.

6) Makan minum kerana lupa.

Peristiwa penting bulan Ramadan

1. Penurunan 5 ayat daripada surah al-Quran (Iqra’) kepada baginda pada tahun ke-13 sebelum Hijrah.

2. Khadijah binti Khuwailid isteri Nabi menerima Islam.

3. Kematian Ummul Mu’mini binti Khuwailid pada tahun kesepuluh selepas Nabi dilantik menjadi Rasul.

4. Pada tahun kedua Hijrah difardukan ibadah zakat dan solat dua hari raya.

5. Peperangan badar yang berlaku pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah.

6. Pembukaan kota Mekah pada tahun kelapan Hijrah.

7. Pengislaman rombongan kaum Saqif pada tahun kesembilan Hijrah.

8. Kematian ketua wanita penghuni syurga Fatimah binti Muhammad pada tahun kesebelas Hijrah.

9. Kematian Ali bin Abi Talib pada tahun 40 hijrah.

10. Kematian Nafisah binti Al Husan binti Zaid bin Al Hasan bin ali bin Abi Talib di mesir pada tahun 208 Hijrah.

11. Peperangan Ain Jalut pada tahun 658 hijrah

Sumber: Mingguan Malaysia 24.9.2006

Adakah Syaitan Benar-benar Dirantai Di Bulan Ramadhan?

Apabila tibanya bulan Ramadhan, sebagaimana biasa kita akan mendengar satu hadis yang sering dibacakan oleh para ustaz di masjid-masjid atau diperdengarkan kepada khalayak ramai iaitu hadis yang datang dari Abu Hurairah RA yang bermaksud :

"Sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda : Apabila tibanya bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga, dan ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.." Hadis ini diriwayatkan Bukhari dan Muslim. Imam Muslim Rahimahullah menyebut hadis ini dalam kitab Shiam (Puasa) dan begitu juga dengan Imam Bukhari yang meletakkan hadis di dalam kitab Shaum (Puasa). Namun lafaz yang dibawa oleh Imam Bukhari berlainan dari Muslim walaupun dari periwayat yang sama iaitu : "Apabila tibanya bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu langit, dan ditutup pintu-pintu jahannam dan dirantai syaitan-syaitan.." Namun, perbezaan lafaz ini tidak membawa kepada perbezaan makna hadis.

Persoalannya : Adakah syaitan benar-benar dirantai di bulan Ramadhan sehingga tidak dapat menjalankan aktivitinya seperti biasa? Kalau ini yang terjadi, bagaimana pula yang berlaku pada hari ini di mana dilihat kemaksiatan yang berlaku di bulan Ramadhan tidak kurang hebatnya daripada yang berlaku di bulan yang lain? Atau adakah rantai tersebut hanyalah satu simbolik (majaz)?

Menurut pendapat Imam Nawawi Rahimahullah di dalam syarahnya menyebut bahawa proses perantaian tersebut hanyalah satu simbolik atau majaz untuk menunjukkan betapa syaitan sudah tidak mampu untuk melaksanakan tugasnya seperti biasa memandangkan orang-orang Islam sudahpun berpuasa. Ini kerana, puasa yang dilakukan oleh orang-orang Islam akan menyempitkan saluran darah yang menjadi laluan syaitan dan akan berkuranglah nafsu yang merajai hati manusia selama ini. Oleh kerana itu, syaitan tidak dapat menjalankan tugasnya dan keadaan ini menyebabkan dirinya bagaikan di'rantai'. Dalam erti kata lain, puasalah yang menjadi punca kepada perantaian ini dan kepada orang-orang yang tidak melaksanakan ibadat puasa, pengaruh syaitan ke atas dirinya samalah seperti bulan-bulan yang lain.

Walau bagaimanapun, Imam Nawawi sendiri tidak menolak kemungkinan maknanya yang zahir iaitu syaitan-syaitan benar-benar dirantai pada bulan Ramadhan bagi menandakan kemuliaan bulan Ramadhan. Manakala hakikat yang terjadi pada hari ini di mana ramai orang-orang yang berpuasa tetap meneruskan kemaksiatan ialah kerana puasa mereka tidak menepati syarat-syarat dan tidak dihayati sebagaimana yang sepatutnya. Apabila puasa tidak dihayati sepenuhnya, pengaruh syaitan akan tetap berkekalan sekalipun syaitan sendiri sudahpun dirantai. Pendapat ini dipegang oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani.

Sebagai kesimpulannya, pemahaman para ulama' terhadap hadis ini yang menyatakan syaitan-syaitan dirantai terbahagi kepada dua iaitu memahaminya secara simbolik ataupun memahaminya di atas maknanya yang zahir. Bagaimanapun, ia sebenarnya tidak bertentangan antara satu sama lain. Seandainya seseorang itu berpuasa dengan sebenar-benarnya, maka sesungguhnya dia telah merantai syaitan daripada mendekati dirinya.

Susunan :
Ahmad Fadhli bin Shaari,
Nilam Puri, Kelantan.

Sumbangan : Anak Melaka

0 comments: