Dengan nama Allah yang Pemurah lagi Maha Mengasihani.Selaut salawat ke atas Nabi Muhammad SAW serta para tabi’ dan tabi’in penyambung risalah.Semoga Allah redha dan menempatkan di syurga tertinggiNya.Baginda telah membawa serta menjadikan Islam menyinari hati-hati manusia seluruh alam hingga ke hari kiamat.Amat malanglah bagi mereka yang masih berada di dalam kegelapan kerana dakwah yang tidak sampai ataupun sesudah dakwah dan peringatan itu sampai namun masih membutakan hati mengeraskan kepala mengikut hawa nafsunya sendiri tanpa memerhatikan dengan akal yang rasional dan proaktif.

Sahabat-sahabat sekalian,

Saya tidak akan menyentuh apakah itu Ramadhan serta kelebihan-kelebihan yang terdapat di dalamnya kerana praktikal dan amalinya berulang setiap tahun.Dan sekiranya di tanya dengan mudah di jawab ‘puasa itu adalah menahan lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa’
Namun tidak ramai yang merasa’ teruja’ dengan datangnya bulan Ramadhan yang Allah khususkan buat umat Nabi Muhammad SAW.Berbanding dengan mereka yang teruja dan terkinja dengan konsert artis Barat ‘Avril Lavinge’ yang menimbulkan banyak kontroversi kerana datangnya di undang dan di taja pihak yang inginkan umat Muhammad ini tenggelam dalam khayalan.Ironisnya konsert ini di adakan sehari sebelum kedatangan bulan mulia umat Islam Malaysia.
Ramadhan kembali membawa peringatan dari tahun ke tahun.Tanpa kita ketahui Ramadhan tidaklah merasa rugi andai kehadirannya di rasakan sepi oleh jiwa-jiwa yang lesu.Namun adalah satu kerugian yang besar dan paling merugikan pada manusia yang Islam namun masih merasa muda dan ‘segan’untuk melakukan sesuatu ibadah fardhu khasnya dan sunat amnya.Mengapa?Media massa,media cetak,media elektronik,televisyen dan segala bentuk media tidak mempromosikan kehebatan bulan Ramadhan ini.Belum sehari berpuasa,malah sebulan sebelum berpuasa sudah ada iklan sambutan Aidilfitri ataupun Hari Raya.Jualan penghabisan stok sempena Aidilfitri.Jelas tidak ada pihak berwajib yang ingin menggambarkan kehebatan Ramadhan kerana ganjaran pahala yang tidak berbentuk RM atau emas dan perak.Seterusnya masyarakat membezakan nilai-nilai ukhrawi(akhirat) dengan katarak dan kornea mata sahaja.Penyakit mata yang perlu di cari penawar dengan segera.

Sepatutnya dan selayaknya sebagai hamba yang mengaku Islam harus mencari titik permulaan atau istilah kontemporari ‘turning point’ untuk melakukan kebaikan dan perubahan di bulan Ramadhan.Kerana di bulan ini apa sahaja ibadat yang di lakukan berubah sehingga 700 darjat.Membaca Al-Quran secara solo atau tadarus berkumpulan,biarpun satu huruf di beri ganjaran 10 darjat.Ingat!satu huruf,bukan satu ayat dari Al-Quran.Memberi sedekah kepada mana-mana pihak yang memerlukan.Berdasarkan sebuah mafhum hadith Nabi SAW ‘Sebaik-baik sedekah adalah di bulan Ramadhan’-Sahih Bukhari.Namun kebanyakannya lebih suka memberi sedekah di bazaar Ramadhan dengan membeli juadah yang melebihi keperluan dan akhirnya di simpan sehingga esok hari lalu basi dan terus ke tong sampah.Pembaziran yang amat di sukai syaitan.Selain daripada itu menunaikan solat sunat Tarawih,solat Tahajud dan lain-lain solat sunat yang di rasakan mampu.Jikalau mampu solat Tarawih boleh dibuat 20 rakaat.Jikalau tidak mampu 8 rakaat.Tidak ada masalah.

Sahabat-sahabat yang di kasihi fillah,

Di sini yang lebih utama yang ingin saya sampaikan adalah ‘turning point’ dalam melengkapkan jatidiri seorang Muslim dan Muslimah itu sendiri.Melakukan sesuatu yang wajib tidaklah mengugurkan perkara wajib yang lain.Contohnya berpuasa di bulan Ramadhan adalah wajib.Berpuasa di bulan Ramadhan juga terdapat di dalam rukun Islam yang lima (five pillars in Islam).Namun terdapat tuntutan di dalamnya yang masih berkurang dan di tinggalkan tanpa rasa bersalah.Berpuasa sudah penuh tetapi tidak mendirikan solat yang fardhu.Apatah lagi yang sunat.Berpuasa tetapi masih tidak menutup aurat.Yang lelaki berseluar pendek bersinglet pagoda.Yang wanita tidak bertudung.Kadang-kadang bertudung tetapi masih menampakkan bentuk lekuk tubuh badan.Menjingkit nampak pusat,menunduk nampak alur ‘Sungai Rajang’ dan sebagainya yang akan mengurangkan pahala mereka yang terpandang akannya.Bukankah itu satu penganiayaan terhadap orang lain?


Saya menyeru kepada sahabat sekalian,berubahlah kepada yang lebih baik sempena datangnya ‘Sekolah atau Madrasah Ramadhan’ ini.Memahami konsep berpuasa dalam erti kata yang sebenarnya.Jadikan dirimu lebih di hargai di sisi Allah dan para malaikat yang mencatat amalmu.Syaitan sudah di kunci yang tinggal hanyalah nafsumu yang masih terbiasa dengan warna kehidupan gelap sebelum ini.Yang tidak bertudung mulakan langkahmu di bulan mulia ini.Yang masih ‘ceroi’ dalam solat,kuatkan semangatmu demi memenuhi tiang agamamu ini.Supaya suatu hari nanti kamu tidak akan menyesal kerana muncul Tsunami yang baru melenyapkan manusia yang tidak bersyukur.Bagi yang berlauk-nasikan rokok,tinggalkan tabiat yang mengundang kebinasaan umat Muhammad itu.Kerana kemungkinan 20 tahun akan datang tidak ada lagi umat Muhammad yang sihat untuk memerangi musuh-musuh Allah.Jadikan Ramadhan bulan peperangan segala keburukan dan kebobrokan penyakit masyarakat.
Akhir sekali saya tatapkan saudara-saudari dengan sedikit ilmu yang di kutip.Semoga di jadikan panduan bersama.

PUASA YANG MAKRUH
1)Puasa Selamanya
Maksudnya puasa setiap hari berturut-turut sepanjang masa melainkan hari yang di haramkan puasa.

2)Berpuasa penuh hanya di bulan Rejab
Nabi SAW tidak pernah berpuasa penuh melainkan bulan Ramadhan.

3)Berpuasa hanya pada hari Jumaat
Makruh berpuasa hanya pada hari jumaat melainkan jika dia biasa selang-seli-puasa sehari dan tak puasa sehari (puasa Nabi Daud a.s),lalu bertepatan hari berpuasa pada hari jumaat atau dia biasa puasa pada awal,tengah dan hujung bulan kebetulan terkena hari Jumaat.
Nabi bersabda:”Janganlah kamu berpuasa pada hari Jumaat melainkan dia berpuasa sehari sebelum atau selepasnya” –Bukhari dan Muslim

4)Puasa pada hari sabtu sahaja
Makruh puasa hari Sabtu sahaja tanpa di gandingkan dengan hari sebelum atau selepasnya.
Nabi SAW bersabda:”Janganlah kamu berpuasa pada hari sabtu melainkan puasa yang wajib”- Muslim
Ini kerana hari Sabtu adalah ahri kebesaran bagi Yahudi.Dilarang mengkhususkan hari Sabtu dengan puasa.

Ruj:http://qaradawi.net/

Hawa Salihah bt Pkhrazi
anjalisolehah@yahoo.com
3 September 2008/01:50 am


RAMADAN adalah masa yang diberkati dan bagi mereka yang menyedarinya akan menggunakan tempoh sebulan ini dengan sebaiknya untuk menambahkan keimanan dan ketaatan kepada Allah SWT.

Ulama Syria, Almarhum Mustafa al-Siba
’iyy menggambarkan empat jenis manusia dalam menghadapi bulan Ramadan iaitu;

Seseorang yang tidak banyak mengetahui mengenai Ramadan. Dia beranggapan datangnya Ramadan hanya menjadi penghalang bahkan tidak ada manfaat sama sekali baginya. Ramadan dipandang sebagai tradisi keagamaan semata-mata yang tidak memberi kesan positif baginya. Golongan ini tidak menunaikan kewajipan berpuasa.

Seseorang yang hanya memandang puasa Ramadan sekadar menahan lapar dan dahaga. Ini kerana dia sangat berkeinginan untuk tidak berpuasa bahkan mengolok-olok orang lain yang berpuasa. Dia berpura-pura berpuasa kepada orang yang tidak mengenalinya, tetapi secara terang-terangan menampakkan kepada orang yang sejalan dengannya bahawa ia tidak berpuasa.

Seseorang yang hanya memandang Ramadan sebagai suatu tradisi tahunan yang ditandai dengan hidangan melimpah, sebagai kesempatan untuk berbual kosong sehingga fajar dan siang harinya tidur sehingga terbenam matahari. Ia menjadi seorang yang pemalas dalam melaksanakan tugasnya.

Seseorang memandang Ramadan sebagai peluang untuk memperbaiki fungsi jiwa manusia supaya rela berkorban, melatih bersabar dan mendidik.

Inilah empat kategori manusia dalam menghadapi Ramadan. Maka tanyalah diri di manakah kita berada. Kita patut berada dalam kategori keempat kerana mereka menyambut Ramadan sebagai cara untuk memperbaharui keimanan, pendidikan akhlak, memperkukuhkan rohani dan mulai hidup dengan lebih sempurna. Maka mereka inilah yang akan mendapat manfaat daripada Ramadan itu.

Seorang Muslim yang berpuasa akan meningkatkan sikap taat, mengoptimumkan usaha meningkatkan perhambaan kepada Allah, bersikap rendah hati di bawah kebesaranNya, selalu berusaha mendekatkan diri kepada-Nya.

Apabila datangnya Ramadan, Nabi SAW bersabda bahawa pintu syurga akan dibuka dan pintu neraka ditutup dan diikat syaitan. Oleh itu ia adalah bulan syurga dan syurga untuk ahli yang menjauhi syaitan dan meninggalkan was-was.

Mereka sibuk dengan syurga dan akhirat. Manusia akan sedar dan umat akan sedar akan perkara yang disebut oleh Rasulullah SAW ini. Mereka akan meninggalkan jalan ke neraka dan berjanji dengan Allah SWT untuk meninggalkan maksiat, kefasikan, kezaliman, penyelewengan, kesesatan dan hawa nafsu.

Datang Ramadan dengan pintu syurga yang terbuka untuk ahlinya iaitu umat bersifat mulia dan penyayang, jauh daripada perkataan memudaratkan, kata kotor dan palsu. Orang yang berpuasa tidak akan bersifat dengan sifat demikian. Kata-kata kotor akan memudaratkan diri dan umat, merosakkan masa lalu dan masa depan mereka. Oleh itu kata kotor hendaklah dibersihkan.

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Barang siapa yang tidak meninggalkan ucapan dan perbuatan keji tidak ada ertinya bagi Allah walaupun ia meninggalkan makanan dan minuman.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Nabi SAW pernah berpesan supaya orang yang berpuasa tidak mengeluarkan kata keji dan kotor dan jika ada orang mengajak kepada pembunuhan atau perkelahian, hendaklah kita menyebutkan
“sesungguhnya saya berpuasa.”

Waspadalah terhadap semua itu kerana ia adalah kekalahan yang membuatkan syaitan bergembira. Sambutlah Ramadan dengan ketaatan, ketakwaan dan keimanan. Ambillah daripada kebaikan Ramadan dan hidulah bau syurga, angkatlah pandangan ke langit, jauhkan diri daripada hal yang hina serta ingatlah selalu akan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Berapa ramai orang yang berpuasa, tetapi ia tidak memperoleh pahala apa-apa daripada puasa itu kecuali rasa lapar dan dahaga.

Orang mukmin akan semakin terpacu untuk meningkatkan ketaatan dan ibadat. Dia akan melapangkan hati kerana hari-hari dalam bulan ini akan turunnya rahmat dan keberkatan. Jiwa mereka akan selalu memperoleh kekuatan dan sinar kesucian.

Sumber: Berita Harian 30.9.2007

Sandiwara Ramadhan

Penulis: Noor Zainal

Firman Allah: "Setiap amalan adalah untuk anak Adam kecuali puasa dan Aku yang akan memberi pahalanya." Melalui firman itu, wajarlah kita berpuasa dan tidak boleh ditinggal kecuali bersebab agar nilai kemanusiaan dapat ditingkatkan dan terhindar daripada sifat kehaiwanan.
Namun nilai kemanusiaan dan tahap kesedaran, semakin tercemar setiap kali muncul Ramadan. Perintah Allah tidak dihiraukan, seperti makan di khalayak ramai selain perlakuan maksiat yang langsung tidak menghormati bulan mulia itu. Walaupun mereka yang ditangkap dibawa 'makan angin' menaiki kereta mayat keliling bandar raya, ia langsung tidak mengaibkan pelaku. Keadaan ini amat menyedihkan terutama pandangan penganut agama lain terhadap Islam yang dicemari orang Islam sendiri.
Ada yang mengambil kesempatan Ramadan beramal ibadat dan bersedekah. Mereka yang tidak mendirikan solat, mula berjinak-jinak ke surau dan masjid. Bagi wanita, ada yang mula memakai tudung serta berbaju kurung sepanjang Ramadan dengan alasan menutup aurat dan menghormati bulan puasa.
Dan pada bulan itu juga hampir setiap perbuatan, tingkah laku dan percakapan dikaitkan dengan dosa dan pa-hala. Tidak seperti lazimnya, terhambur kata-kata lucah yang menjadi gurauan seharian. Anehnya, apabila tamat Ramadan, tamatlah sandiwara itu. Langkah ke surau terhenti, tudung kepala terbang melayang dan betis-betis gebu mula disingkap.
Mengapakah keadaan ini terjadi? Pahala yang dicari atau sengaja menempah dosa? Adakah mereka ini berpura-pura, mempersenda Ramadan atau sekadar ingin meraih pujian?
Menurut Hamidon Abdul Hamid daripada Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Ramadan lebih bersifat bulan memerangi nafsu. "Ramadan membuat kita berasa dekat dengan Allah dan melalui puasa, keinsafan akan memuncak. Malangnya, ramai salah tafsir konsep berpuasa itu. Ada menjadikan Ramadan bulan mereka mengamalkan diet untuk menguruskan badan. Jika ini diamalkan, mereka tidak berpuasa kerana kerohanian, sebaliknya atas sebab lain."
Tambahnya, dengan berpuasa seseorang itu menunjukkan rasa kecintaan kepada Allah dan sedar setiap perbuatan itu dilihat-Nya. "Apabila kita insaf, menunjukkan sudah ada keimanan dalam diri yang seterusnya memberi laluan dan memudahkan kita melakukan amalan lain tanpa paksaan."
Menyentuh sandiwara Ramadan, Hamidon berpendapat, ia disebabkan perang psikologi. "Mereka mengetahui puasa itu besar pahalanya, lantas mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk tidak menjejaskan puasa secara keseluruhan. Walaupun hakikatnya perbuatan itu akan menjadi bahan percakapan orang lain, mereka tidak peduli."

Jelita 2, 1995

Hal-hal yang dimakruhkan dalam puasa

Orang yang sedang berpuasa dimakruhkan melakukan hal-hal yang boleh merosak puasanya, walaupun hal-hal tersebut sebenarnya tidak merosakkan puasa. Di antara hal-hal tersebut:

1) Berlebih-lebihan dalam berkumur, menghirup air dengan hidung.

2) Suami mencium isteri.

3) Suami terus-menerus melihat isteri dengan syahwat.

4) Memikirkan seks.

5) Menyentuh wanita dengan tangan.

6) Mencuba makanan.

7) Berkumur tidak untuk berwuduk.

8) Bercelak di siang hari.

9) Berbekam atau mengeluarkan darah.

Hal-hal yang membatalkan puasa

1) Masuk cairan ke dalam perut melalui hidung, mata, telinga, atau kemaluan wanita.

2) Air masuk dalam perut akibat berlebihan ketika berkumur dan menghirup air dengan hidung ketika berwuduk.

3) Keluarnya air mani kerana melihat wanita atau berhubungan suami isteri.

4) Muntah dengan sengaja.

5) Dipaksa makan dan minum.

6) Murtad dari Islam.

Hal-hal yang boleh dikerjakan ketika berpuasa

1) menggunakan siwak.

2) Menyejukkan badan dengan air kerana terlalu panas atau menyelam ke dalam air.

3) Makan minum dan melakukan hubungan suami isteri pada malam hari hingga terbitnya fajar.

4) Berubat dengan ubat yang halal tetapi tidak masuk ke dalam perut.

5) Mengunyah makanan untuk anak-anak kecil.

6) Penggunaan wangi-wangian.

7) Keluar jauh perjalanan untuk sesuatu urusan walaupun mengetahui bahawa perjalanannya

akan membuatnya tidak berpuasa.

Hal-hal yang dimaafkan bagi orang yang berpuasa

1) menelan air liur sendiri walaupun banyak

2) muntah tapi tidak masuk lagi ke perut hanya di hujung lidah.

3) Menelan lalat dengan tidak sengaja.

4) Dalam keadan berjunub hingga ke siang hari

5) Mimpi melakukan hubungan suami isteri.

6) Makan minum kerana lupa.

Peristiwa penting bulan Ramadan

1. Penurunan 5 ayat daripada surah al-Quran (Iqra’) kepada baginda pada tahun ke-13 sebelum Hijrah.

2. Khadijah binti Khuwailid isteri Nabi menerima Islam.

3. Kematian Ummul Mu’mini binti Khuwailid pada tahun kesepuluh selepas Nabi dilantik menjadi Rasul.

4. Pada tahun kedua Hijrah difardukan ibadah zakat dan solat dua hari raya.

5. Peperangan badar yang berlaku pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah.

6. Pembukaan kota Mekah pada tahun kelapan Hijrah.

7. Pengislaman rombongan kaum Saqif pada tahun kesembilan Hijrah.

8. Kematian ketua wanita penghuni syurga Fatimah binti Muhammad pada tahun kesebelas Hijrah.

9. Kematian Ali bin Abi Talib pada tahun 40 hijrah.

10. Kematian Nafisah binti Al Husan binti Zaid bin Al Hasan bin ali bin Abi Talib di mesir pada tahun 208 Hijrah.

11. Peperangan Ain Jalut pada tahun 658 hijrah

Sumber: Mingguan Malaysia 24.9.2006

Adakah Syaitan Benar-benar Dirantai Di Bulan Ramadhan?

Apabila tibanya bulan Ramadhan, sebagaimana biasa kita akan mendengar satu hadis yang sering dibacakan oleh para ustaz di masjid-masjid atau diperdengarkan kepada khalayak ramai iaitu hadis yang datang dari Abu Hurairah RA yang bermaksud :

"Sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda : Apabila tibanya bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga, dan ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.." Hadis ini diriwayatkan Bukhari dan Muslim. Imam Muslim Rahimahullah menyebut hadis ini dalam kitab Shiam (Puasa) dan begitu juga dengan Imam Bukhari yang meletakkan hadis di dalam kitab Shaum (Puasa). Namun lafaz yang dibawa oleh Imam Bukhari berlainan dari Muslim walaupun dari periwayat yang sama iaitu : "Apabila tibanya bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu langit, dan ditutup pintu-pintu jahannam dan dirantai syaitan-syaitan.." Namun, perbezaan lafaz ini tidak membawa kepada perbezaan makna hadis.

Persoalannya : Adakah syaitan benar-benar dirantai di bulan Ramadhan sehingga tidak dapat menjalankan aktivitinya seperti biasa? Kalau ini yang terjadi, bagaimana pula yang berlaku pada hari ini di mana dilihat kemaksiatan yang berlaku di bulan Ramadhan tidak kurang hebatnya daripada yang berlaku di bulan yang lain? Atau adakah rantai tersebut hanyalah satu simbolik (majaz)?

Menurut pendapat Imam Nawawi Rahimahullah di dalam syarahnya menyebut bahawa proses perantaian tersebut hanyalah satu simbolik atau majaz untuk menunjukkan betapa syaitan sudah tidak mampu untuk melaksanakan tugasnya seperti biasa memandangkan orang-orang Islam sudahpun berpuasa. Ini kerana, puasa yang dilakukan oleh orang-orang Islam akan menyempitkan saluran darah yang menjadi laluan syaitan dan akan berkuranglah nafsu yang merajai hati manusia selama ini. Oleh kerana itu, syaitan tidak dapat menjalankan tugasnya dan keadaan ini menyebabkan dirinya bagaikan di'rantai'. Dalam erti kata lain, puasalah yang menjadi punca kepada perantaian ini dan kepada orang-orang yang tidak melaksanakan ibadat puasa, pengaruh syaitan ke atas dirinya samalah seperti bulan-bulan yang lain.

Walau bagaimanapun, Imam Nawawi sendiri tidak menolak kemungkinan maknanya yang zahir iaitu syaitan-syaitan benar-benar dirantai pada bulan Ramadhan bagi menandakan kemuliaan bulan Ramadhan. Manakala hakikat yang terjadi pada hari ini di mana ramai orang-orang yang berpuasa tetap meneruskan kemaksiatan ialah kerana puasa mereka tidak menepati syarat-syarat dan tidak dihayati sebagaimana yang sepatutnya. Apabila puasa tidak dihayati sepenuhnya, pengaruh syaitan akan tetap berkekalan sekalipun syaitan sendiri sudahpun dirantai. Pendapat ini dipegang oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani.

Sebagai kesimpulannya, pemahaman para ulama' terhadap hadis ini yang menyatakan syaitan-syaitan dirantai terbahagi kepada dua iaitu memahaminya secara simbolik ataupun memahaminya di atas maknanya yang zahir. Bagaimanapun, ia sebenarnya tidak bertentangan antara satu sama lain. Seandainya seseorang itu berpuasa dengan sebenar-benarnya, maka sesungguhnya dia telah merantai syaitan daripada mendekati dirinya.

Susunan :
Ahmad Fadhli bin Shaari,
Nilam Puri, Kelantan.

Sumbangan : Anak Melaka